MENJAGA MARUAH DENGAN MENUTUP AURAT

Saturday, July 17, 2010

SERINGKALI kita memperdengarkan tentang gejala anak-anak muda kita terutama sekali perempuan berkeliaran berjalan dengan hanya memakai pakaian yang sangat ketat. Hal ini sudah semakin berleluasa sehingga tidak memperdulikan tentang akhlak dan maruah mereka.

Sudah menjadi pemandangan yang biasa di mana segolongan daripada wanita di negeri ini berkeliaran di kedai-kedai, berjalan-jalan dan ke mana-mana tanpa menutup aurat mereka dengan betul. Mereka keluar dari rumah-rumahnya dengan pakaian yang tidak begitu layak disebut sebagai pakaian.

Pakaian memiliki fungsi untuk menutup aurat, melindungi tubuh manusia dari keadaan lingkungan dan cuaca di sekitarnya. Ia melindungi tubuh manusia dari kondisi lingkungan yang berdebu, lembab, atau kering. Pakaian juga melindungi tubuh dari cuaca yang senantiasa berubah panas ataupun dingin. Pakaian adalah kulit kedua manusia.

Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.

Boleh dikatakan semua orang sudah tahu akan had had penjagaan aurat yang harus mereka tutupi. Akan tetapi hal ini tidak begitu diendahkan oleh beberapa golongan yang menganggapnya sebagai hal yang sangat ringan.

Jika kita tinjau di beberapa tempat membeli-belah di negara kita ini, begitu ramai wanita yang berjalan-jalan dengan menayangkan bentuk tubuh badan mereka dengan hanya mengenakan pakaian yang begitu ketat. Hal ini lebih membingungkan lagi apabila yang memakai pakaian ketat itu adalah perempuan yang berumur belasan tahun atau masih lagi dipanggil sebagai pelajar sekolah.

Pakaian seperti Body Fit, Slim Jeans dan sebagainya yang boleh menampakkan bentuk dada dan punggung ditayangkan kepada orang ramai seperti apa yang kita tontoni di filem filem antarabangsa.

Budaya siapakah yang sebenarnya kita ingin contohi?. Bukankah negara kita Brunei Darussalam ini mempunyai falsafah Melayu Islam Beraja yang wajib kita banggakan.

Seawal di bangku sekolah lagi pelajar-pelajar kita didedahkan dengan pakaian seragam sekolah yang memakai pakaian seperti baju kurung. Hal ini seiring dengan falasafah negara kita untuk memperlihatkan identiti budaya kita kepada umum.

Namum begitu, segelintir masyarakat kita hanya mengambil perkara ini sewenang-wenangnya tanpa memikirkan tentang dosa dan akibat yang akan mereka perolehi.

Dengan mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat dengan begitu menonjol, bukankah ia boleh membangkitkan keghairahan kepada orang lain yang terpandangnya. Sudah begitu banyak kita terdengar kes-kes yang tidak sepatutnya terjadi contohnya kes rogol.

Mungkin di antara beberapa penyebabnya ialah kerana perempuan yang awalnya begitu menonjolkan bentuk badan mereka kepada teman-teman mengakibatkan mereka berani bertindak di luar kawalan nafsu mereka.

Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu.

Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol.

Hal pendedahan aurat ini ditambah lagi dengan gaya masa kini dengan mewarnakan rambut. Rambut yang berwarna hitam diwarnai dengan pelbagai warna dan ini bukanlah budaya kita.

Begitu banyak sebab-sebab yang mendorong anak-anak muda kita terpengaruh dengan budaya cara berpakaian yang tidak begitu menutup aurat. Di antaranya ialah kurangnya nasihat atau teguran daripada ibubapa mereka, kurangnya kesedaran agama, pengaruh jahat dari kawan, terikut-ikut dengan gaya masa kini dan apa yang lebih penting lagi ialah kekuatan diri sendiri.

Seperti apa yang disampaikan di dalam Khutbah Jumaat pada tahun 2007, adalah satu anggapan dan amalan yang silap, memakai tudung tetapi memakai baju berlengan pendek, memakai kain berbelah sehingga menampakkan kaki dan betis.

Demikianlah seterusnya perkara-perkara yang sedemikian iaitu perkara yang menampakkan aurat hendaklah dijauhi bagi mengelakkan dosa?

The Brunei Times