MENGIBAR BENDERA ASAS MENCINTAI NEGARA

Saturday, July 24, 2010

SEMBILAN hari yang lepas, negara telah menyambut Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-64 tahun. Mungkin ramai di antara adik-adik atau rakan-rakan kita turut serta meraikan sambutan hari gemilang tersebut dengan mengibarkan bendera kebangsaan.

Kemeriahan dari mengibarkan bendera kebangsaan negara kita yang aman makmur ini mencerminkan betapa syukur dan bertuahnya kita dapat bernaung di bumi Brunei Darussalam ini.

Melihat pelajar-pelajar dan murid-murid sekolah mengibarkan bendera, bukanlah setakat melambai-lambaikan bendera negara kita, tetapi ia adalah sebagai asas pendidikan awal untuk mencintai negara. Bagi sesetengah orang, mungkin mengibarkan bendera ini adalah satu kewajipan yang mesti dilakukan, tetapi ini adalah sesuatu yang dapat kita lakukan untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang kita kepada raja dan negara kita.

Seawal-awal lagi murid-murid sekolah diberikan bendera negara kertas yang kecil dan harus dilekatkan menggunakan batang kayu untuk dikibarkan. Raptai dan latihan diungkayahkan sebelum hari sebenarnya agar majlis di hari sebenar kemuncaknya berjalan dengan lancar.

Tergambar bagaimana cerianya para murid dan pelajar bangun awal untuk berkumpul ke sekolah dan bergerak ke tempat pengibaran bendera mengikut lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Di sanalah, para pelajar-pelajar berpeluang melihat dengan lebih dekat bagaimana pelajar-pelajar yang lain menunjukkan rasa patriotik mereka dengan mengibarkan bendera itu terutama sekali apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan melalui di sepanjang jalan lokasi tersebut dan melambai-lambaikan tangan baginda kepada rakyat.

Secara tidak langsung jika kita amati, dari sinilah murid dan pelajar menanamkan sifat dan semangat mencintai raja, agama, bangsa dan negara.

Kita mungkin tidak akan menyangka, suatu hari nanti, di antara ribuan murid-murid dan pelajar-pelajar yang turut serta mengibarkan bendera negara akan memegang bendera panji-panji seperti menjadi salah seorang pegawai Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei ataupun Pasukan Polis DiRaja Brunei.

Penat dan lelah ketika berpanas ataupun berhujan semasa mengibarkan bendera tidak terpeduli kerana bahagianya dapat menyumbangkan tenaga dengan hanya mengibarkan bendera negara ke hadapan raja tercinta.

Namun begitu, ada juga beberapa nasihat yang dapat kita dengar daripada guru-guru yang mengatakan setelah selesai majlis pengibaran bendera, bendera kecil kertas tersebut jangan dibuang dan terdampar di sepanjang jalan raya kita.Jika ada pun, hal ini sepatutnya tidak terjadi kerana di dalam bendera kita, ia membawa slogan, maksud dan makna melalui warna-warna dan panji-panji yang ada di dalamnya.

Sebagaimana yang kita ketahui, setiap negara di dunia ini mempunyai bendera masing-masing dengan identitinya yang tersendiri kerana bendera merupakan simbol atau lambang kenegaraan dan kedaulatan pemerintah serta bangsa. Begitulah juga negara kita Brunei Darussalam mempunyai bendera kebangsaannya sendiri dengan warna kuning, putih dan hitam serta di tengah-tengahnya terdapat panji-panji negara yang bertulis perkataan bahasa Arab yang berbunyi ertinya "Sentiasa membuat kebajikan atau kebaikan dengan petunjuk Allah". Jika kita kaji secara mendalam kata-kata yang termaktub dalam panji-panji tersebut, akan didapati ianya mempunyai maksud dan pengertian yang jauh dan mendalam, yang antaranya mendorong supaya sentiasa berkhidmat, berbakti, berjasa kepada agama dan negara dengan bimbingan serta petunjuk Allah Subhanahu Wataala.

Negara kita mempunyai pelbagai hari sambutan yang memerlukan supaya kita mengibarkan bendera di rumah kita bahkan seperti apa yang pelajar-pelajar turut sertai tempoh hari lalu seperti Hari Kebangsaan dan kunjungan pembesar-pembesar negara lain.

DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK

The Brunei Times